Kuantan, 1 April 2025 – Poliklinik Ar Razi mengorak langkah strategik dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan primer di Kuantan dengan mengambil alih pengurusan Klinik Sulaiman, sebuah klinik yang telah lama dikenali dan dipercayai oleh masyarakat setempat.
Walaupun kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada rangkaian Poliklinik Ar Razi, nama asal “Klinik Sulaiman” dikekalkan, sebagai penghargaan kepada legasi dan hubungan baik yang telah lama terjalin antara klinik ini dengan pesakit setia serta komuniti sekitar.
Yang penting, semua panel insurans dan korporat sedia ada akan terus diterima tanpa perubahan. Selain itu, Poliklinik Ar Razi akan menambah panel baharu secara berperingkat dari semasa ke semasa, bagi meningkatkan kemudahan kepada pesakit dan memperluaskan akses kepada lebih ramai pengguna.
Pengurusan baharu juga akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan dari segi teknologi rekod pesakit, sistem temu janji, serta sokongan kepada rawatan susulan yang lebih teratur dengan klinik-klinik lain dalam rangkaian Ar Razi.
Langkah ini menandakan satu lagi fasa pertumbuhan Poliklinik Ar Razi dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat Pahang secara mampan dan berterusan.