PUTRAJAYA, 24 JULAI 2026 – Seramai 835,146 pesara dan penerima pencen terbitan kini bakal menikmati akses kemudahan yang lebih meluas menerusi dua inisiatif baharu yang dilancarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Inisiatif ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, merangkumi penggunaan Touch ‘n Go e-Wallet sebagai saluran pembayaran alternatif dan platform MyPesara Plus.
Poliklinik Ar Razi Rakan Strategik MyPesara Plus
Melalui pelancaran MyPesara Plus, kad pesara kini diperkasakan fungsinya. Ia bukan lagi sekadar dokumen pengenalan untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan, malah kini berfungsi sebagai medium yang menawarkan pelbagai keistimewaan daripada sektor swasta.
Bersempena dengan pelancaran ini, Poliklinik Ar Razi Perubatan & X-Ray berbangga kerana telah terpilih dan dianugerahkan sijil penghargaan sebagai salah satu daripada tujuh rakan strategik terawal yang menjayakan inisiatif ini. Pesara kini boleh menikmati pelbagai tawaran istimewa dan perkhidmatan kesihatan tambah nilai apabila menggunakan kad pesara fizikal atau aplikasi MyPesara di rangkaian Poliklinik Ar Razi.
Rakan strategik lain yang turut terlibat termasuk Nasken International, Zuspresso, Sogno Coffee, Etiqa Family Takaful, Group Primer AZK dan GCH Retail. Inisiatif ini dijangka dapat membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan pesara.
Pembayaran Pencen Melalui Touch ‘n Go e-Wallet
Selain itu, JPA dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], dan Touch ‘n Go e-Wallet turut memperkenalkan saluran alternatif pembayaran pencen.
Langkah pertama seumpamanya dalam sektor kerajaan ini bertujuan memastikan pesara yang berdepan masalah akaun bank dibekukan atau disekat—termasuk mangsa penipuan kewangan (scam)—terus menerima bayaran pencen mereka tanpa gangguan. Sehingga Mei 2026, seramai 122 pesara telah memanfaatkan kaedah ini dengan jumlah transaksi mencecah RM254,841.21 sebulan.
Komitmen berterusan JPA ini membuktikan bahawa kebajikan dan kesejahteraan pesara sentiasa menjadi keutamaan negara, disokong kuat oleh penglibatan rakan industri dan sektor perubatan swasta.